Sebagai pelajar tahun akhir kami dipertanggungjawabkan untuk terlibat secara langsung dalam proses penerbitan laporan tahunan tersebut. Sungguhpun ilmu penerbitan boleh dikatakan sangat rendah dan hasil akhir laporan tahunan tersebut tidaklah se'gah' mana, namun atas kerjasama semua pihak, laporan tahunan tersebut menjadi kebanggaan kami semua terutama pelajar-pelajar tahun akhir sesi 1997.
Ketika itu, walaupun pengetua adalah jawatan tertinggi di dalam sekolah, beliau tidak menggunakan pengaruh beliau untuk kepentingan sendiri dengan melantik kenalan rapat (mungkin juga skandal) sebagai penerbit dan pencetak bagi buku laporan tahunan tersebut. Jika kemungkinan nilai sekarang untuk menerbitkan 100 naskhah laporan tahunan adalah dalam sekitar RM20,000 (termasuk kos upah merekabentuk dan percetakan berwarna), bayangkan nilai yang boleh diperolehi oleh pengetua saya pada waktu itu sekiranya beliau mempunyai niat untuk bertindak tanpa etika.
Walaupun tanpa diupah, kami begitu bersemangat untuk menghasilkan grafik yang berkualiti dan hasil akhirnya sangat membanggakan kami semua. Bagaimana jika kami dibayar sebanyak RM11,000 hanya sebagai upah untuk merekabentuk, sila tuan-tuan dan puan-puan bayangkan produk yang mampu kami hasilkan ketika itu.
Jangkamasa yang diambil? Tidak terlalu lama. Kerana sebagai pelajar tahun akhir yang bakal menduduki peperiksaan SPM, kami seharusnya banyak menumpukan perhatian kepada pelajaran (sebagai tanggungjawab utama kami sebagai pelajar) dan bukannya menghabiskan banyak masa dan tenaga di atas ketidakupayaan penerbit/pencetak dalam menterjemahkan kehendak kami.
Dan yang penting sekali, semua pelajar sangat menantikan hasil akhir laporan tahunan tersebut kerana ia adalah kebanggaan semua pelajar dan bukannya sebagai alatan golongan tertentu (yang paling berkuasa, seperti pengetua) untuk mempromosikan diri bagi mendapat perhatian pihak tertinggi. Tidak juga sebagai medan untuk menguntungkan sesetengah pihak dengan cara yang amat mudah dan tidak profesional.
Apapun, itu semua kisah dahulu yang kadangkala membuat saya tergelak kecil jika diingati. Mungkin juga jelak.
Kini, 13 tahun ke hadapan dari menerbitkan buku laporan tahunan yang terakhir pernah saya buat, saya terlibat kembali dalam menerbitkan sebuah lagi buku laporan tahunan. Ceritanya? Anda bayangkanlah sendiri.
No comments:
Post a Comment