Tuesday, February 16, 2010

Jalan-Jalan

DearDhea Is Having A Doughnut
Hari ini saya ingin berbicara menggunakan bahasa ibunda saya. Saya tidak melihat keterasingan ini sebagai sesuatu yang asing mahupun pelik hanya kerana majoriti penulisan di dalam blog ini adalah di dalam Bahasa Inggeris. Penulisan di dalam bahasa perantaraan antarabangsa itu hanyalah untuk melatih penguasaan saya kerana kini, jika dilihat melalui persekitaran saya adalah agak sukar untuk saya berlatih menguasai bahasa kedua bagi diri saya tersebut.

Penulisan kali ini agak ringkas, hanya menceritakan tentang aktiviti saya bersama keluarga pada hari semalam yang pada pendapat saya tidak mengecewakan. Bermula dengan kejutan ceria di waktu pagi oleh Dhea yang acapkali bangun lebih awal daripada kedua ibu bapanya ketika hari hujung minggu, kami sekeluarga terus bersiap untuk berjalan-jalan. Ya, kami tiada tujuan tertentu melainkan hanya untuk membawa Dhea berjalan-jalan. Tempat yang dituju adalah MidValley, tempat yang selalu cuba dielakkan oleh saya dan Lira kerana reputasinya yang sering membazirkan masa kami untuk mencari petak meletak kereta yang sangat kurang, sekurang tahap keceriaan kami ketika akhirnya kami menemui tempat untuk meletak kereta kami.

Kenapa kami berubah fikiran?

Pertama, terima kasih kepada Dhea, saya dan Lira bangun dari tidur agak awal dari kebiasaan ketika hujung minggu. Kami tiba di MidValley lebih kurang pukul 10.15 dan keadaannya kelihatan lengang yang seterusnya membawa kepada sebab utama kami tidak keberatan untuk ke sana.

Sambutan Tahun Baru Cina.

Kami simpulkan, sebagai bangsa yang memegang kuasa ekonomi negara ini, sudah tentu tempat-tempat di mana berlakunya transaksi duit yang sangat tinggi seperti pusat membeli-belah seperti MidValley akan lengang berikutan mereka pulang ke kampung halaman bagi merayakan perayaan tersebut.

Namun begitu, sangkaan kami ternyata meleset kerana menjelang tengah hari, MidValley dipenuhi dengan pengunjung-pengunjung. Perancangan awal oleh Lira memudahkan kami untuk mengharungi ribuan pengunjung di sana kerana akhirnya Dhea terlena ketika keluar bersama kami, di dalam keselesaan kereta sorongnya yang selama ini sering dipinggirkan.

Kami gigihkan diri meredah tingkat demi tingkat, tanpa tujuan. Kepenatan, kami singgah di aras terakhir dalam perjalanan menuruni aras-aras di MidValley ke aras tempat kereta kami diletakkan. Aras ini memang dipenuhi dengan restoran-restoran dan kafe-kafe seumpamanya. Kami singgah untuk melepaskan kepenatan dan Dhea akhirnya terjaga dari lenanya. Melihat gulungan-gulungan donat yang kebanyakannya bersalutkan coklat, Dhea kelihatan begitu berselera menjamu selera. Peluang ini tidak dilepaskan untuk diabadikan, maka saya seperti lazimnya mengambil beberapa foto dengan kamera setia saya.

Kesimpulannya, pada kami MidValley memang akan sentiasa kami cuba elakkan untuk dilawati pada bila-bila masa tanpa tujuan yang begitu mendesak.

Di akhir penulisan ini baru saya sedari tentang perihal di sebalik penulisan dalam bahasa ibunda saya ini. Saya mempunyai tugas menyediakan sarikata terjemahan untuk sebuah filem tempatan yang bakal ditayangkan tidak lama lagi. Sungguhpun tugas tersebut memerlukan saya menterjemah dari Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris dan situasi tersebut adalah sebaliknya di sini, sekurang-kurangnya ini adalah satu bentuk latihan sebelum melaksanakan tugas tersebut.

Sekian, terima kasih.

2 comments:

Admin said...

dear ismed,

aku terkesima seketika ketika membaca penulisan terbaru kamu lantas tergerak jari-jemari ini untuk menari di atas papan kekunci komputer untuk mencoretkan sedikit komentar kepada kamu.

ternyata kamera n lensa yg setia kamu tidak pernah menghampakanku yg sering kali menanti update daripada mu. :P

owh ya, sedikit tips ketika mencari parking, baca la kalimah YA SALLAM berulang kali ketika memburu parking, insya ALLAH ianya tidak pernah menghampakan kami sekeluarga disini.. insya allah

digitelwerk said...

terima kasih di atas nasihat saudara untuk memudahkan saya mencari parking. juga terima kasih kerana sudi membaca coretan merapu di blog yang tidak seberapa ini.

saya masih menantikan sesi fotografi bebas bersama saudara satu hari nanti.